Monday, March 28, 2011

Pisang Vs Durian

Musim durian lagi.  Walaupun tidak semua tempat (khususnya di Batu Kurau dan sekitarnya), tetapi oleh kerana Batu Kurau memang kawasan durian maka banyak jugalah pokok yang berbuah.  Pokok durian di Cempaka Mas baru mula mengeluarkan bunga.  Bunga belum pecah dan belum gugur.  Mengikut kiraan admin dan juga kata orang-orang yang berpengalaman dengan durian, durian akan masak dan gugur selepas lebih kurang 3 bulan 10 hari bunganya mula gugur.  Bermakna kalau hari ini bunga mula gugur (28.3.11),  durian akan masak dan gugur pada pertengahan Julai.

Musim durian yang tidak serentak lazimnya memberikan pulangan yang agak lumayan kepada pemilik dusun.  Begitu jugalah kepada peraih dan penjual.  Harga tolak kepada peraih antara RM 4.00 hingga RM5.00 sebiji.  Kalau buah kecil, kampuh dimana dua atau tiga biji kira sebiji.  Lumayan juga hasil yang diraih oleh pemilik dusun.  Namun rasanya tidaklah selumayan apa yang diperolehi oleh peraih dan penjual.  Harga pasaran pula paling rendah RM6.00 sekilogram dan sebiji purata beratnya  antara 2.0 hingga 2.5 kg.

10 orang pemilik dusun katalah tiap seorang dapat keluar 50 biji sehari.  Jadi peraih dapat kumpul 500 biji dan tolak pula kepada penjual dengan mark-up harga RM2.00 sebiji.  Kiralah berapa jumlah yang diperolehi oleh peraih.  Penjual pula, bagaimana.  Berapa anggaran yang mereka perolehi jika mereka jual dengan harga RM 6.00 sekg.  Itulah adanya dan tepatlah pepatah yang pernah ku dengar " pokok kita punya, buah depa punya"

........dan lazimnya juga apabila musim durian, pisang amat susah untuk dipasarkan terutama jenis pisang untuk makan tanpa diproses (masak atau goreng).  Harganya turun mendadak.  Terpaksa biarkan saja masak dipokok, habuan unggas.

No comments:

Post a Comment